Trending

Armin Bakal Hadapi Hukuman Berat

Suami Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, berdepan hukuman lebih berat selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan atas kesalahan mencederakan anaknya, 24 Februari lalu.

Armin yang memakai baju kelabu serta berseluar jeans, bagaimanapun tetap mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Armin yang berkerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di rumahnya di Denai Alam, Shah Alam, antara 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Sabit kesalahan, dia yang diwakili peguam Muhammad Zufar Elias, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Raja Noor Adilla mengekalkan ikat jamin yang ditawarkan sebelum ini iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 6 April depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Selasa lalu, di mahkamah sama, Armin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 KK kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun itu.

Dia kemudian ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas tiada rakan atau ahli keluarga yang datang membayar wang jaminan.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan pada Jumaat lalu.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Sumber : Harian Metro

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Popular

To Top