Trending

Filem Pecah Panggung Hantu Kak Limah, Apa Best Sangat Ni? Naaaaa…..Pergh!

Filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid kini telah mencecah kutipan lebih daripada RM30 Juta selepas hanya 3 minggu ditayangkan. Sekaligus ia telah mencatat sejarah kepada perfileman Melayu. Ternyata filem hasil tempatan masih lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia dan boleh dibanggakan. Tapi apa yang menjadi kekuatan filem in sehingga ia mendapat tempat di hati penonton?

Ramai yang memberikan pendapat dan ulasan tentang filem ini termasuklah ulasan daripada seorang pengguna Facebook, Muhammad Yusof . Beliau memberikan 10 point ulasan yang menarik tentang filem Hantu Kak Limah.

Ulasan filem Hantu Kak Limah(2018)

1. Hantu Kak Limah adalah buah tangan terbaharu Mamat Khalid. Secara personal, aku mula tertarik dengan beliau melalui filem Puteri Gunung Ledang(2004) yang diarahkan oleh Saw Teong Hin. Mamat Khalid adalah merupakan penulis skrip filem tersebut. Cuba korang selami dialog filem PGL dan korang akan dapati ianya sangat puitis dan ‘deep’. Bermula dari situ aku mula mengikuti karya-karya lawak rakyat beliau dan antara playlist aku ialah Man Laksa, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan 16 Puasa.

Zul Arifin yang macho jadi pak lawak

2. Mamat Khalid memang pakar dalam membuat pelakon yang serius, jadi kelakar. Banyak drama atau filem yang aku tengok ada pelakon yang mencuba nak jadi pak lawak tapi tak menjadi. Tapi dalam filem ini, Mamat berjaya merubah Zul Arifin yang kita sedia tahu sebagai mamat macho tiba-tiba jadi boleh jadi pak lawak. Hebat, kan? Aku fikir babak Zul Arifin sekejap je macam watak Sofi Jikan dalam HKLBR tapi banyak jugak babak dia dalam filem ini.

Ikon-ikon hantu dalam filem

3. Kalau korang perasan Mamat cuba mengangkat ikon-ikon hantu yang ada kat Asia Tenggara contohnya kita nampak scene gigi hitam, rumah tepi sungai dan hantu tangan panjang dalam filem Pee Mak. Begitu juga scene Kak Limah makan banyak yang kita biasa tengok dalam filem legasi Suzana Sundel Bolong. Jadinya, Mamat Khalid mahu franchise Kak Limah diingati sebaris dengan ‘ikon hantu’ seperti watak Suzanah dalam Sundel Bolong ataupun watak Nak dalam Pee Mak.

4. Ada orang kata apa mengarutlah filem Mamat Khalid kali ini ada elemen mistik yang berlegar dalam mitos orang melayu contohnya scene orang bunian. Perkara-perkara mistik ini memang sememangnya diminati oleh segenap lapisan masyarakat. Kalau tak masakan rakyat Amerika yang kita lihat maju 20-30 tahun ke hadapan teknologinya berbanding kita pun terpengaruh dengan unsur mistik ini. Contohnya, fenomena Crop Circle(walaupun ada bukti yang mengatakan bahawa benda ini direka oleh manusia yang pakar dalam bidang landscaping). Kita tengok berapa banyak filem Hollywood based pada fenomena crop circle nikan? Dan, aku tak sangka plot orang bunianlah yang Mamat guna sebagai twist penamat filem ini.

Nafas baru kepada filem hantu dan elemen Melayu yang kuat

5. Sekurang-kurangnya kehadiran Hantu Kak Limah memberikan nafas baharu kepada filem seram negara yang aku tengok ‘statik’ pada takuk lama. Asyik-asyik kita tengok kalau filem hantu je mesti hantu-hantunya pakai baju putih, hantu merangkak ala-ala Ju-on, tapi kali ini Mamat Khalid menampilkan keseraman Hantu Kak Limah melalui scene kuku kaki yang panjang yang dah kejang ke bawah. Biasanya kaki orang yang dah mati je boleh kejang macam tu.(aku tunggu macamana elemen seram Munafik 2).

6. Filem ini bernuansakan elemen melayu yang kuat. Kampung melayu, orang melayu, budaya melayu, loghat-loghat orang melayu, pemimpin melayu dan mentaliti melayu. Kita biasa tengok kampung dan suasana melayu dalam drama dan filem tetapi Mamat Khalid mahu kita sama-sama berfikir melangkaui itu semua. Mamat bercerita tentang pemikiran syirik dan khurafat yang masih melingkari mentaliti orang melayu. Mamat bercerita tentang masalah orang melayu yang masih bergaduh kerana politik. Mamat bercerita tentang persoalan adat orang melayu. Mamat bercerita tentang melawan animisme orang melayu. Dan seribu satu cerita tentang watak, perwatakan dan perangai orang melayu yang Mamat cuba tampilkan dalam filem ini walaupun temanya berat untuk kita fikirkan tetapi Mamat menghidangkannya dalam nada homour. Tak percaya, cuba tengok filem ini 2-3 kali.

Tema orang kebanyakan diangkat dalam filem

7. Aku perasan banyak filem-filem Mamat mengangkat tema marhaen/orang kebanyakan dalam filem dia. Watak orang kampung, watak orang hidup serba sederhana. Jarang Mamat buat filem budak lepas SPM terus jadi CEO syarikat multinasional. Jadi, kebanyakkan kita pernah melalui zaman susah ni waktu kecil, jadi pengalaman-pengalaman ni buat kita rasa dekat dengan filem-filem Mamat Khalid. Betul tak? Formula tema orang kebanyakkan/marhaen ni kita biasa tengok dalam filem P Ramlee(watak penarik beca, watak buta huruf, watak orang miskin kais pagi makan pagi). Sebab tu kita tak jemu dengan filem-filem beliau.

8. Mamat ada mengambil adegan hantu jepun dalam filem ini. Pada aku, scene itu bukan sekadar plot re-cycle untuk mengisi kelompongan plot filem sahaja tetapi ia adalah tribute kepada plot hantu jepun yang mengembalikan nostalgia kita kepada lawak-lawak malar segar seniman agung, Tan Sri P Ramlee.

Kalau filem dari luar boleh capai RM60 juta takkan filem kita tak boleh?

9. Pada aku, Hantu Kak Limah adalah sebuah filem yang menghiburkan. Aku boleh enjoy menonton filem ini dan rasanya tak mustahil filem ini akan menjadi sebuah filem yang mencatatkan rekod kutipan tertinggi negara. 40 juta mungkin? Atau lebih?

10. Sekali sekala kita kenalah support jugak industri. Ini tak bila filem HKL ni pecah-panggung je mulalah timbul berita filem ni ada babak merokok, lepas tu timbul kisah filem ni lawak merapu, lepas tu timbul pulak isu plagiat filem P Ramlee. Semua isu ini dicipta seolah-olah filem ini tak best, padahal aku ok je gelak-gelak terutamanya time scene watak Ropie muncul. Kalau filem dari luar boleh capai sampai RM60 juta takkan filem kita sendiri tak boleh, kan?

Kredit :  Muhammad Yusof

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Popular

To Top