fbpx
Now Reading
Umur Lebih Panjang Jika Berjalan 10,000 Langkah Setiap Hari

Umur Lebih Panjang Jika Berjalan 10,000 Langkah Setiap Hari

Menurut Profesor Madya Dr Aidalina Mahmud, berjalan kaki juga dapat meningkatkan kadar metabolisma badan dan menjaga kesihatan mental.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, berjalan kaki secara santai atau pantas merupakan antara salah satu senaman mudah yang mampu dilakukan oleh ramai orang dan mempunyai pelbagai manfaat.

Antara kebaikan berjalan kaki adalah dapat menguatkan jantung, membantu menurunkan paras gula dalam darah, mengurangkan risiko penyakit kronik dan banyak lagi.

Foto: Pexels

Amalan berjalan kaki 10,000 langkah setiap hari mampu kurangkan risiko kematian

Pensyarah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Aidalina Mahmud berkata, amalan berjalan kaki sehingga 10,000 langkah setiap hari juga mampu menggurangkan risiko kematian pada awal usia.

Selain itu, beliau berkata amalan terbabit dapat meningkatkan kadar metabolisma badan dan menjaga kesihatan mental.

Menurutnya, gaya hidup yang tidak sihat merupakan antara penyebab masyarakat kurang melakukan aktiviti kardiovaskular.

Berjalan kaki dapat tingkatkan produktiviti dan bakar kalori

Jelasnya, berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit setiap hari mampu membakar lebih banyak kalori dan meningkatkan produktiviti.

“Kita digalakkan untuk berjalan 10,000 langkah setiap hari kerana ia pergerakan paling mudah dilakukan dan masyarakat perlu menjadikan aktiviti ini sebagai rutin.

“Jalan kaki untuk tujuan kesihatan ada dua jenis iaitu berjalan santai dan berjalan pantas. Berjalan santai ini sangat bagus untuk kesihatan mental manakala berjalan pantas boleh membakar lemak dan mengurangkan berat badan.

“Aktiviti seperti ini perlu dijadikan budaya kerana rakyat Malaysia kurang gemar melakukan aktiviti fizikal. Misalnya jika ke pasar raya kita lebih suka meletakkan kenderaan hampir dengan pintu utama berbanding berjalan jauh,” katanya dipetik Sinar Harian.

Berjalan kaki sekitar 3,967 langkah boleh kurang risiko kematian daripada sebarang asbab

Tahun lalu, satu kajian yang diterbitkan dalam European Journal of Preventive Cardiology mendapati berjalan sekurang-kurangnya 3,967 langkah sehari boleh mengurangkan risiko kematian daripada sebarang asbab.

Malah, kajian yang sama juga mendedahkan bahawa berjalan dalam 2,337 langkah sehari pula dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung dan saluran darah.

Keadaan cuaca panas antara punca rakyat Malaysia kurang berjalan kaki

Berkongsi lanjut, Aidalina berkata, keadaan cuaca panas yang terlalu ekstrem dan kawasan pejalan kaki tidak mesra pengguna merupakan antara sebab rakyat Malaysia kurang berjalan kaki.

“Dalam keadaan macam ini, mungkin boleh mulakan budaya berjalan kaki dalam skala kecil seperti di pusat beli-belah dan tempat tertutup. Kita mulakan dengan langkah kecil seperti berjalan kaki ke surau atau ke kedai dekat rumah,” katanya.

Sekadar fakta, berjalan sejauh 1 kilometer (km) bersamaan dengan anggaran 1,250 langkah, jika anda berjalan kaki daripada Muar, Johor ke Jalan Parlimen, Kuala Lumpur dengan jarak 200 Km, maka langkah yang telah dilakukan adalah dalam lingkungan 250,000 langkah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.