fbpx
Now Reading
Akhirnya Kugiran Masdo Berjaya Rakam Album Di London

Akhirnya Kugiran Masdo Berjaya Rakam Album Di London

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Impian Kugiran masdo untuk merakamkan album kedua mereka di Abbey Road Studio, London yang tertangguh tahun lalu akhirnya dapat direalisasikan pada Jun lalu.

Ada yang beranggapan ia mustahil untuk dilaksanakan, dengan kos pembikinan mencecah RM150,000, kumpulan itu berjaya mengutip pengalaman di studio ikonik yang diabadikan sempena judul album ke-11 kumpulan muzik tersohor, The Beatles.

Vokalisnya, Ali Sariah berkata, pemergian selama seminggu itu bukan untuk membuktikan mereka hebat, sebaliknya lebih kepada mencari kepuasan sebenar dalam berkarya.

“Hajat itu sudah lama tersimpan, iaitu sejak kami menerima lagu ciptaan The Bootleg Beatles apabila mereka bertandang ke Kuala Lumpur, tahun lalu. Lagu yang mereka berikan itu kental dengan nuansa muzik band legenda itu.

“Dari situ, kami terfikir, kenapa tidak album kedua Kugiran Masdo dibikin di London? Namun, kekangan kewangan menyebabkan kerja rakaman yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu ditangguhkan,” katanya.

Menurut Ali, penangguhan projek itu membawa pelbagai hikmah, terutama apabila peminat mula mendapatkan album dan barangan premium Masdo.

“Kami turut mendapat tajaan tiket Penerbangan Malaysia Berhad (MAS). Namun, ada juga yang sinikal dengan usaha kami, tetapi kami abaikan sahaja.

“Jika kami berjaya merealisasikan impian ini, anak muda lain juga mampu melakukan perkara sama asalkan tidak berhenti berusaha,” katanya mengenai album kedua yang bakal dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

Selain Ali, kumpulan itu turut dibarisi Putu Ceri; Azham Ahmad dan Asmawi Ismail yang telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

Sumber: BH Online

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.