fbpx
Now Reading
‘Jangan tengok keindahan agama itu pada orangnya. Kerana setiap manusia itu ada yang buruknya.’- Juneyongqi

‘Jangan tengok keindahan agama itu pada orangnya. Kerana setiap manusia itu ada yang buruknya.’- Juneyongqi

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini video seorang gadis berbangsa cina bercerita kisahnya tentang bagaimana dia memeluk agama Islam telah viral dan mendapat perhatian ramai. Gayanya yang santai dan percakapannya yang sopan menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut akan kisah beliau.

Jadi, kami mengambil peluang untuk bertemu sendiri dengan beliau dan bertanya akan perjalannya dalam menjadi seorang Muslim.

Pemilik nama Nur Qaseh Qurratul Aini mesra dengan panggilan Kasih dan baru berusia 21 tahun Beliau merupakan seorang pelajar dalam bidang aircraft maintenance. Biarpun masih mudah, namun gadis ini sangat petah berbicara dan menjawab soalan demi persoalan yang diberikan.

Kami bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal Islam. Ini jawapan Kasih,

“Kenal Islam ni dari kecil sejak umur 6, 7 tahun macam tu. Awalnya ketika mendengar azan, Kasih merasakan seperti gangguan. Tapi, lepas dah besar dan bergaul dengan orang Islam, rasa interesting pula untuk belajar akan agama ini.”

Kasih sangat terpesona melihat amalan orang Islam yang sering kali membaca doa sebelum melakukan sesuatu. Beliau merasakan amalan itu sebagai satu yang baik dan membuatnya ingin mendalam akan agama Islam.

Perjalanan Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Kami meminta Kasih untuk bercerita tentang perjalanannya memeluk agama Islam. Dengan penuh senang hati, Kasih bercerita satu demi satu.

“Actually, mengucap dua kalimah syahadah buat kali pertama masa form 2 di depan ustazah sekolah sebab waktu tu saya dah mengambil keputusan untuk bertudung.”

Kasih juga berkata dia turut bertudung sewaktu dia masih belum kembali ke agama Islam. Selepas sahaja beliau mengucap, Kasih merasa tenang dan merasakan jika dia mati pada hari itu, dia akan bahagia dan gembira.

Namun, perjalanannya menjadi seorang mualaf tidaklah seindah yang disangka. Pernah beberapa kali beliau dibuli oleh rakan-rakannya. Mejanya diconteng, rakan sekelas memulaunya dan Kasih diejek dengan kata-kata yang agak menggores perasaan.

“Hampir-hampir sahaja saya tidak jadi untuk memeluk agama Islam.” Ceritanya dengan nada perlahan.

Tetapi, Allah tetap melindungi hatinya. Biarpun diuji sedemikian rupa, jiwa Kasih tetap kental. Alhamdulillah, dia berjaya melalui semua dugaan itu dengan baik sekali. Kasih tetap teguh dengan pendiriannya dan beliau percaya bahawa ujian ini adalah untuk menguatkan dirinya lagi.

Cabaran Dan Amalan Yang Disukai Selepas Menjadi Islam

Selepas memeluk agama Islam, cabaran yang paling besar buat Kasih adalah untuk beristiqamah. Bukan mudah untuknya melakukan perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini seperti solat, puasa dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, Kasih sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Beliau sentiasa berusaha dan memaksa dirinya untuk terus Istiqamah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang baik.

Kami turut bertanya apa amalan yang paling best selepas beliau memeluk agama Islam. Dengan pantas Kasih menjawab sedekah.

“Saya suka memberi walaupun tak banyak. Saya percaya jika saya memberi Allah akan bagi lebih banyak kepada saya.”

Pesan Kasih Kepada Mereka Yang Mahu Mengenal Islam

“Jangan tengok keindahan agama itu pada orangnya. Kerana setiap manusia itu ada yang buruknya.”

Kasih juga menekankan bahawa lihatlah keindahan Islam itu pada agamanya. Dan jika mahu melihat keindahan Islam, kita harus mencari keindahan tersebut.

Sama-samalah kita mendoakan agar Kasih terus diperlihara oleh Allah swt akan imannya dan diberi segala kebaikan isi dunia.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.