fbpx
Now Reading
Dr. Sahruddin Dilantik Menteri Besar Johor ke-17

Dr. Sahruddin Dilantik Menteri Besar Johor ke-17

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, sebentar tadi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyerahkan surat tauliah pelantikan sebelum Dr Sahruddim melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Majlis berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Dr Sahruddin, 43, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan, Isnin lalu.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor.

Majlis ringkas itu bermula jam 9.30 pagi dan tamat 25 minit kemudian.

Sementara itu, dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda bertitah mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Saya berharap beliau dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor.

“Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

“Suka juga saya nasihatkan kepada pihak kerajaan supaya janganlah membuang masa dengan banyak bercakap mengenai perkara tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat,” titahnya.

Baginda bertitah, sebaliknya tumpukanlah perhatian untuk membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

Kerajaan Johor, titahnya sudah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri.

“Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir negeri Johor.

“Kedaulatan negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia.

“Semoga negeri Johor terus maju, makmur dan diberkati,” titahnya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.