fbpx
Now Reading
Atlet Kayak Negara Dilanggar & Diseret Pemandu Mabuk Sejauh 600 Meter

Atlet Kayak Negara Dilanggar & Diseret Pemandu Mabuk Sejauh 600 Meter

Saksi mendakwa kereta dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar dan menyeret Siti Nurul Masyitah Elias.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap pengguna jalan raya sering kali diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Ia penting bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kemalangan.

Namun, masih ada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab dan bersikap mementingkan diri ketika memandu.

Kebiasaannya, sikap ini akan menyebabkan berlakunya kemalangan dan menyusahkan pengguna yang lain.

Alami Kecederaan Serius Selepas Dilanggar Pemandu Mabuk

Gara-gara pemandu mabuk, atlet kayak Malaysia Siti Nurul Masyitah Elias mengalami cedera parah selepas dilanggar dan diseret sejauh 600 meter.

Insiden dipercayai berlaku pada Sabtu (11 Mei) di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Johor menuju ke Southkey, Johor Bahru itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa serta sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (PPJKM) Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang, mangsa yang berusia 22 tahun itu kini dirawat di Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri kerana mengalami kecederaan yang serius.

Saksi Dakwa Kereta Dipandu Melulu, Mangsa Menjaga Ibu BapaYang Sakit

Melalui kenyataan itu juga, saksi mendakwa kereta dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar dan menyeret mangsa.

“Menurut saksi berserta rakaman ‘dashcam’, kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.

“Mangsa sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.

“Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” jelas kenyataan itu lagi.

orang yg langar dalam keadaan tak normal memang paling musibat boleh peace time aku amik gamba. boleh seret 600m sampai rider semua tahan baru berenti.

Posted by Firdaus Rafee on Saturday 11 May 2024

Pemandu Disahkan Mabuk & Telah Ditahan

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat menjelaskan pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Menurut Raub, kemalangan itu berlaku pada jam 4.30 petang dan pemandu berkenaan memiliki tunggakan tujuh saman trafik.

“Mangsa yang menunggang sebuah motosikal ketika itu dirempuh daripada arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an.

“Kenderaan tersebut dikatakan telah menukar lorong dari laluan tengah ke laluan kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka di bahagian kaki.

“Manakala pemandu yang disahkan mabuk selepas ujian pernafasan dibuat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Jelasnya lagi, pemandu kereta yang berusia 30-an itu telah ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Beliau turut memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan menerusi talian 014-6977122.

KBS Bantu Atlet Dapatkan Rawatan

Pada masa yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu Masyitah mendapatkan rawatan.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden berkenaan dan keadaan Masyitah.

“Kita sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian itu dan keadaan atlet,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Untuk info, Siti Nurul Masyitah merupakan atlet kayak Dragon Boat Malaysia Bronze Medal SEA Games 2023.

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Mabuk Buat Hal, Menggila & Langgar Orang Ramai Di Tapak Bazar [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tidak Maafkan.. Saya Hilang Tempat Bergantung” – Isteri Mohammed Zaili, Mangsa Pemandu Mabuk

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Maut Dirempuh Pemandu Mabuk Tukar Haluan Secara Melintang

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.