fbpx

Roadtax Kenderaan EV 85% Lebih Murah Mulai 1 Januari 2026

Penetapan kadar baharu fi yang jauh lebih rendah ini merupakan langkah kerajaan dalam menggalakkan peralihan daripada penggunaan kenderaan ‘internal combustion engine’ (ICE) (kenderaan guna minyak) kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak belakangan ini, kenderaan elektrik (EV) sama ada kereta ataupun motosikal dengan mudahnya dapat dilihat di atas jalan raya.

Ini kerana telah banyak syarikat pengeluar kenderaan yang perlahan-lahan beralih kepada pengeluaran kenderaan EV selain peningkatan permintaan daripada pengguna terhadap kenderaan tersebut.

Namun tahukah anda? Kadar Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan EV berbeza daripada kenderaan bermotor yang lain.

Ia merupakan antara usaha kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kadar Baharu Fi Lesen LKM Kenderaan Elektrik Yang Baharu 85% Lebih Rendah

Mulai 1 Januari 2026, kerajaan mengumumkan kadar Fi LKM (cukai jalan) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik ditetapkan mengikut kuasa motor elektrik.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kadar fi baharu itu 85% lebih rendah dari kadar sedia ada pada masa kini.

Jelas Loke, kadar itu akan disemak semula setiap lima tahun bagi melihat keberkesanannya dalam menggalakkan peralihan kepada kenderaan bebas asap serta kesannya kepada pendapatan kerajaan.

Hanya Terpakai Buat Kenderaan Kategori PBEV & FCEV

Namun, kadar baharu itu hanya terpakai buat kenderaan elektrik yang berada dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV).

“Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik, secara amnya peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.

“Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Kadar Jauh Lebih Murah Dari Kenderaan ICE

Penetapan kadar baharu fi yang jauh lebih rendah ini merupakan langkah kerajaan dalam menggalakkan peralihan kenderaan tanpa pelepasan karbon berbanding penggunaan kenderaan ‘internal combustion engine’ (ICE) (kenderaan guna minyak).

Tambah beliau, penetapan fi itu dibuat berdasarkan kadar blok dengan setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 1,000 Watt.

Seperti contoh, blok 1 adalah bagi ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik dari satu Watt hingga 100,000 Watt, blok 2 antara 100,001 hingga 210,000 Watt dan seterusnya.

“Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minimum dan maksimum kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksimum pula adalah RM70 manakala blok 3, kadar fi minimum adalah RM305 dan maksimum pula adalah RM575,” jelasnya.

Kadar Kenaikan Fi Ditetapkan 9,999 Watt Bagi Setiap Blok

Ujar beliau lagi, kadar kenaikan fi LKM secara progresif ditetapkan bagi setiap blok dengan kenaikan 9,999 Watt akan dikenakan tambahan bayaran mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan mengikut blok tersebut.

Menjadikan blok 2 sebagai contoh, kadar minimum fi LKM pada kuasa motor elektrik 100,001 Watt ditetapkan pada RM80. Dengan kenaikan 9,999 Watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah pada 110,000 Watt.

“Fi LKM kuasa motor 100,001 Watt adalah RM80 dengan kadar kenaikan per blok 9,999 Watt bagi blok 2 adalah RM20. Jadi, jumlah kadar fi LKM akan dikenakan adalah bersamaan RM100.

“Sebagai contoh bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range yang berkapasiti 130 kilo Watt (kW) akan hanya dikenakan fi LKM sebanyak RM120 berbanding kadar sedia ada bernilai RM624.

“Bagi Tesla Model Y yang berkapasiti 220kW adalah RM305 sahaja berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM2,583,” terangnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2024: Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik, Kerajaan Beri Rebat RM2,400 Kepada Pembeli

Baca Artikel Berkaitan: IGEM 2023: Teknologi Kenderaan Elektrik Di Malaysia Semakin Berkembang Pesat

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.