fbpx
Now Reading
Yayasan Khazanah & PayNet Lanjutkan Program Biasiswa Wakalah Untuk Pelajar Muslim B40

Yayasan Khazanah & PayNet Lanjutkan Program Biasiswa Wakalah Untuk Pelajar Muslim B40

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penyumbang biasiswa utama Malaysia, Yayasan Khazanah, dan Payments Network Malaysia (PayNet) telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melanjutkan Program Biasiswa Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah.

Apa itu Program Biasiswa Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah?

Kerjasama strategik ini bertujuan untuk membantu pelajar beragama Islam dari golongan B40 sepanjang pengajian sarjana muda mereka di universiti tempatan yang terpilih.

Bidang yang ditumpukan adalah seperti Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Kewangan, dan kursus berkaitan

Fokus terhadap kursus-kursus ini bertujuan untuk membangunkan tenaga kerja yang berkebolehan dalam sektor teknologi dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Dana yang digunakan bagi inisiatif ini disalurkan daripada peruntukan Wakalah PayNet melalui caruman zakat korporat dan dengan cara ini, PayNet dapat menggalakkan pembangunan sosial melalui pendidikan untuk komuniti asnaf.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Digitalisasi Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani, pihaknya berbangga kerana dapat meneruskan kerjasama dengan penyumbang biasiswa yang dikagumi seperti Yayasan Khazanah.

“Melalui kerjasama ini, PayNet memberi komitmen untuk memastikan bahawa pelajar yang berkelayakkan akan mempunyai peluang yang sama dari segi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial untuk meningkatkan kehidupan masa depan mereka dan juga menyumbang kepada negara.

“Kami berharap suatu hari nanti, para sarjana yang berjaya ini juga mendapat peluang untuk membangun industri pembayaran digital bersama-sama dengan PayNet atau bersama rakan perniagaan kami dalam ekosistem kewangan,” kata Firdaus Ghani.

Yayasan Khazanah yang ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Khazanah Nasional Berhad dan merupakan rakan strategik Yayasan Hasanah, bertujuan untuk memilih, menyokong, membentuk, dan menaiktaraf individu-individu cemerlang yang mampu memimpin organisasi terbaik di negara ini dan di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki pula berkata, kerjasama ini bermasa tepat dan menyokong komitmen mereka. dalam memupuk bakat-bakat masa depan yang bersedia untuk memajukan Malaysi.

“Pada masa kini, negara sedang memberi tumpuan dan mengemudi industri digital seperti sektor kewangan. Kami bangga kerana dapat menyediakan peluang biasiswa yang penuh bermakna untuk menyokong aspirasi belia, sambil memenuhi permintaan bakat dalam sektor-sektor yang sedang berkembang di Malaysia.”

Kriteria memohon

Menerusi semakan kami di laman Yayasan Khazanah, pemohon mesti mempunyai rekod pencapaian akademik yang konsisten dan cemerlang seperti berikut:

  • Mendapat sekurang-kurangnya 8A (gabungan A dan A+) dalam peperiksaan SPM baru-baru ini atau sekurang-kurangnya 8A dalam IGCSE baru-baru ini.
  • Mendapat A atau A+ dalam mata pelajaran teras berikut: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik (hanya untuk SPM).
  • Berumur tidak melebihi 18 tahun pada tarikh pendaftaran untuk pengajian asas.

Universiti yang terlibat pula adalah seperti IIUM, UiTM, UIA, UKM, MMU, UM, UTM dan banyak lagi.

Memasuki tahun kedua, Program Biasiswa Wakalah PayNet-Yayasan Khazanah adalah salah satu daripada pelbagai lagi program biasiswa yang disediakan oleh Yayasan Khazanah.

Sejak tahun 2006, Yayasan Khazanah telah memberi biasiswa kepada 1,495 individu cemerlang bagi menyokong pendidikan mereka dalam pelbagai bidang.

Untuk maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, universiti-universiti yang terpilih, dan cara memohon Biasiswa Khazanah, sila layari www.yayasankhazanah.com.my.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.