fbpx
Now Reading
Senator Saran Kerajaan Beri Kuota Khas Untuk Pelajar India Masuk Matrikulasi

Senator Saran Kerajaan Beri Kuota Khas Untuk Pelajar India Masuk Matrikulasi

Menurut C Sivaraj, cadangan itu sebagai langkah bagi memastikan pelajar India tidak terus terpinggir dan mendapat peluang yang sama dalam pendidikan tinggi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Ahad (30 Jun) lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 10A dan ke atas akan diberikan ruang melanjutkan pengajian ke Program Matrikulasi tanpa mengira kaum dan wilayah.

Pengumuman itu merupakan hasil keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang telah diadakan pada 28 Jun lalu bagi memastikan semua pelajar cemerlang diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

Malah, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa keputusan ini tidak akan menganggu kuota Bumiputera sedia ada.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar SPM 10A Akan Diberi Peluang Masuk Ke Matrikulasi Tanpa Kira Kaum & Wilayah – PM

Saran Sediakan Kuota Khas 2,500 Untuk Pelajar India Sambung Ke Matrikulasi

Ekoran daripada pengumuman itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk C Sivaraj menyarankan agar kerajaan menyediakan kuota khas sebanyak 2,500 tempat untuk pelajar India bagi melanjutkan pengajian ke Program Matrikulasi.

Cadangan itu sebagai langkah bagi memastikan pelajar India tidak terus terpinggir dan mendapat peluang yang sama dalam pendidikan tinggi.

Tambah Sivaraj, pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A ke atas mempunyai pelbagai pilihan antaranya seperti Unit Pusat Universiti (UPU), Asasi, biasiswa, dan lain-lain.

“Namun, bagi pelajar yang mendapat 6A hingga 9A, matrikulasi merupakan platform yang mudah bagi mereka untuk memasuki universiti, khususnya ke kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, dan farmasi.

“Kebanyakan pelajar India ambil sembilan subjek sahaja. Jika mereka tidak mengambil Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil maka wajarlah kerajaan mempertimbangkan pelajar dari kategori 6A hingga 9A selepas permohonan pelajar dengan 10A diberi tempat,” katanya.

Populasi Pelajar Cina Lebih Ramai Berbanding Pelajar India

Walaupun inisiatif kerajaan itu dilihat membantu dan memberi peluang kepada pelajar bukan bumiputera yang cemerlang namun ia dikhuatiri akan menyebabkan pelajar berbangsa India akan terpinggir dan teraniaya.

Jelasnya, populasi pelajar bukan bumiputera khususnya pelajar Cina lebih ramai berbanding pelajar India.

“Ini bermakna, daripada 10% kuota yang diperuntukkan kepada bukan bumiputera, majoritinya akan dikuasai oleh pelajar Cina, meninggalkan sedikit ruang untuk pelajar India.

“Sudah sedia maklum bahawa pelajar India sebelum ini juga sukar untuk mendapatkan tempat di matrikulasi, dan kini keadaan ini akan bertambah sukar, ” jelasnya.

Untuk info, Program Matrikulasi merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka menyambung pengajian peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Berdasarkan laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program ini telah menyediakan peluang sebanyak 10% buat pelajar bukan bumiputera mulai sesi 2003/2004 bagi melanjutkan pengajian di peringkat ini.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar SPM 10A Akan Diberi Peluang Masuk Ke Matrikulasi Tanpa Kira Kaum & Wilayah – PM

Baca Artikel Berkaitan: Kenyataan Anwar Tentang Isu Sistem Kuota Universiti Bersifat Sementara – Kumpulan Siswazah Bukan Bumiputera

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.