Hiburan

“Saya Salahkan Diri Saya Kerana Tidak Dapat Mengemudi Bahtera Perkahwinan” – Jamal Abdillah

Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah akan meluahkan segalanya yang terbuku dalam hati berhubung kegagalan rumah tangganya, pada Konsert Duo Legenda di Istana Budaya, tidak lama lagi untuk dua putera tersayangnya.

Jamal, 59, berkata, beliau akan mendendangkan lagu berjudul Kisah Ayah dan Anak dalam segmen itu yang ditujukan khas buat dua putera kesayangan, Osama Yamani, 17, dan Ahmad Zaki Yamani, 11, pada konsert empat hari mulai 20 Disember depan.

Gambar: Hangat

“Lagu itu mengisahkan perihal ayah dan ibu yang cuba mendirikan mahligai untuk kebahagiaan rumah tangga, tapi malangnya, tidak berjaya. Secara simboliknya, ia adalah penyesalan saya yang tidak dapat mendirikan mahligai diharapkan keluarga.”

“Dengan cara ini, saya dapat menerangkan pada anak-anak bahawa saya bukan berniat untuk menganiaya sesiapa… Ini adalah takdir yang Allah tentukan. Mungkin dengan cara ini, anak-anak boleh memahami di mana saya sudah cuba memulihkan rumah tangga tapi tidak berjaya.”

“Saya salahkan diri saya kerana tidak dapat mengemudi bahtera perkahwinan,” katanya pada sidang media mengenai persiapan konsert yang menampilkan dirinya dan juga Datuk M Nasir.

Gambar: Mybulletinmalaysia

Jamal ditemani isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24, semasa sidang media itu. Menurutnya, Osama adalah hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Mohd Yusof manakala Ahmad Zaki adalah daripada perkahwinan ketiganya dengan Fatimatuzahrah Samad. Sebelum itu, Jamal telah berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff.

Penyanyi Kekasih Awal dan Akhir ini tidak menolak kemungkinan anaknya, Osama akan bermain gitar bagi mengiringi persembahannya pada konsert itu. “Buat masa ini, saya tak boleh janjikan kehadiran Osama. Ini kerana dia sedang sibuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin selepas tamat nanti, saya akan berbincang dengan penganjur.”

“Mungkin Osama akan tampil dalam slot terakhir bersama saya. Saya juga mungkin membawa Osama mengiringi persembahan sempena promosi konsert di televisyen (TV),” katanya.

Konsert itu juga dikatakan istimewa kerana akan menampilkan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan bermain biola dan juga penyanyi dari Australia yang mencipta nama di Malaysia, Cassidy Anderson.

Sumber: Berita Harian

Popular

To Top