fbpx
Now Reading
Neelofa cadang kerajaan bantu peniaga Online

Neelofa cadang kerajaan bantu peniaga Online

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

SELEBRITI dan usahawan produk Muslimah, Neelofa menyarankan kerajaan agar membantu peniaga dalam talian antaranya dengan menyusun semula agensi yang bertanggungjawab terhadap pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agar tidak lagi berlaku pertindihan bidang kuasa.

Beliau yang hari ini dijemput memberikan taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan juga berkata, kerajaan perlu memainkan peranan untuk mengekang produk tiruan serta mempermudahkan peniaga memohon dana dan geran.

“Saya kongsikan macam mana untuk usahawan hendak mohon kelulusan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), halal jadi semuanya boleh berada di bawah satu bumbung.

“Semua agensi seperti Teraju, Mara, SME Corp (juga diharap) dapat memberi hala tuju supaya mereka tahu apa mereka buat,” katanya kepada wartawan selepas sesi taklimat kepada majlis penasihat yang dipengerusikan Daim Zainuddin pagi tadi.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, semua agensi berkenaan wajar distruktur semula supaya ada hala tuju yang jelas.

Beliau juga berharap kerajaan akan dapat mempermudahkan urusan permohonan dana dan geran, termasuk dengan mengurangkan prosedur yang perlu dipatuhi.

Menurut Neelofa, beliau hanya berkongsi pandangannya dari perspektif perniagaan beliau, Naelofar Hijab termasuk cabaran yang dihadapi dalam industri perniagaan itu.

“Contohnya macam produk tiruan. Kita pernah bekerjasama dengan KPDNKK dan Kastam tapi kosnya sangat tinggi untuk kita sambung untuk selesaikan masalah.

“Saya cadangkan pada majlis penasihat, mungkin bila kita buat laporan mereka bekerjasama dengan SKMM untuk terus tutup akaun palsu orang yang menjual barang tiruan,” katanya lagi.

Sebuah penyelidikan pasaran Asia Tenggara tahun lalu mengunjurkan kelompok pengguna wanita Muslim yang digelar “hijabista” menjana ekonomi sehingga AS$1.9 trilion (RM7.5 trilion).

Kajian Reuters mengenai kedudukan ekonomi Islam global pula mendapati sektor gaya hidup Muslim berkembang dengan pesat pada kadasr sekali ganda berbanding ekonomi dunia secara amnya.

Neelofa, 29, mempunyai ribuan agen dalam serta Singapura dan Brunei. Perniagaannya dilaporkan bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun ini. Beliau juga dilaporkan mempunyai hampir 700 pengedar sah serta memiliki tiga butik utama yang menggaji lebih 80 pekerja termasuk lima pereka fesyen.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif Fashion Valet (FV), Vivy Sofinas Yusof berkata, sokongan, kepakaran teknologi dan penguasaan Bahasa Inggeris mampu memacu sektor e-dagang tempatan ke peringkat global yang lebih luas.

“Sebagai usahawan e-dagang, kami memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan pada masa sama mahukan lebih ramai pakar dalam teknologi untuk menghadapi cabaran masa ini.

“Pada masa sama, usahawan juga perlu bersedia untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk berdepan dengan orang lain,” kata pengasas FV yang merupakan salah satu daripada platform e-dagang fesyen terkemuka di Asia Tenggara.

Neelofa dan Vivy Yusof pernah dinamakan oleh majalah Forbes sebagai antara 30 tokoh penggerak Asia di bawah umur 30 tahun, dalam kategori peruncitan dan e-dagang.

Mereka adalah antara penggerak industri yang dipanggil untuk memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

Antara yang turut dipanggil hari ini termasuk pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakim Manaf, pemegang  francais kedai permainan Hamleys di Malaysia dan Singapura serta Burhanuddin Radzi, pengasas Les Copaque Production, syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin dan Ipin.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.