fbpx
Now Reading
Video 3 Wanita Bawa Anjing Bersiar-siar Disalah Tafsir Netizen

Video 3 Wanita Bawa Anjing Bersiar-siar Disalah Tafsir Netizen

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

[video src="https://www.youtube.com/watch?v=XU3CGHM0sR0"]

Sejak kelmarin, video berdurasi 31 saat yang memaparkan gelagat tiga penuntut bertudung membawa anjing ‘bersiar-siar’ itu tular dan heboh diperkatakan hingga dikecam teruk orang ramai.

Universiti Putra Malaysia (UPM) mengesahkan tiga gadis bersama anjing menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak kelmarin adalah penuntut kursus Doktor Perubatan Veterinar (DPV) di institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Difahamkan, ketiga-tiga penuntut berkenaan sedang menjalani latihan praktikal luar kampus di PAWS Animal Welfare Society, Subang, Selangor, ketika video mereka dirakam seorang netizen.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof Dr Nor Kamariah Noordin dalam satu kenyataan berkata, latihan praktikal luar kampus selama seminggu bermula 2 hingga 8 Julai itu adalah sebahagian daripada syarat keperluan pembelajaran dan pengajaran (PdP) program DPV di UPM.

 

“Sepanjang lima tahun pengajian, penuntut perlu mengikuti kuliah, amali, amalan klinikal dan makmal di Hospital Pengajaran Veterinar Universiti (UVH), Makmal Diagnosis dan Taman Pertanian Universiti (TPU) di kampus UPM Serdang.

“Penuntut akan terbabit dengan latihan praktikal luar kampus semasa cuti semester seawal tahun pertama pengajian sama ada dalam mahu pun luar negara,” katanya.

Beliau berkata, semua keperluan berkenaan adalah syarat bergraduat program DPV yang dikawal Majlis Veterinar Malaysia bagi memastikan graduan DPV UPM berpengetahuan, kompeten dan berkemahiran insaniah cemerlang dalam membela kebajikan serta kesihatan haiwan.

“Ini termasuk dalam merawat, mengawal dan mencegah merebaknya penyakit pada haiwan lain atau manusia serta memastikan kecukupan makanan negara berasaskan sumber haiwan.

“Malah penuntut mesti tahu mengendalikan semua spesies haiwan, kecil atau besar seperti kucing, anjing, babi, burung, ayam, lembu, rusa, ikan dan gajah,” katanya.

Beliau berkata, penuntut beragama Islam tidak terkecuali daripada mengendalikan pelbagai spesis haiwan itu.

“Bagaimanapun, pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan penuntut terpelihara termasuk menyediakan kemudahan menyamak setiap kali selesai sesi latihan.

“Justeru, video berkenaan yang ditularkan bukan menggambarkan secara keseluruhan dakwaan orang ramai (netizen) mengenai isu menyentuh anjing oleh orang Islam,” katanya.

Sumber : Harian Metro

 

 

 

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.