fbpx
Now Reading
Tak Melayan Semua Lelaki dan Kedekut, Ciri-Ciri Teman Hidup Fikry Ibrahim

Tak Melayan Semua Lelaki dan Kedekut, Ciri-Ciri Teman Hidup Fikry Ibrahim

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim meletakkan wanita ‘sombong’ serta ‘kedekut’ sebagai antara kriteria yang dinilai dalam mencari teman hidup.

Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, berkata, sombong yang dimaksudkannya itu bukan bermakna berlagak atau bongkak sehingga tidak menghormati dirinya sebagai lelaki.

“Wanita ‘sombong’ yang saya maksudkan ialah mereka yang tidak melayan semua lelaki dan meletakkan maruah dirinya pada tempat yang tinggi.

Dalam soal kedekut pula, saya tidak suka wanita yang membazir dan boros berbelanja.

“Itu bukan bermakna mereka langsung tidak boleh membeli barangan berjenama, tetapi jangan keterlaluan,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama, Hero Seorang Cinderella itu.

Mengakui populariti yang diraih membuatkan ramai wanita yang ingin mendekati, anak kelahiran Jitra, Kedah itu tidak menafikan, dia pernah digoda peminat.

“Rasanya, ia perkara biasa apabila peminat meluahkan perasaan cinta mereka kepada artis yang diminati. Tetapi, saya tidak pernah melayannya.

“Saya hanya membalas mesej peminat yang jujur dan ikhlas menyokong kerjaya. Memang ada peminat yang keterlaluan dan begitu terbuka meluahkan perasaan mereka, tetapi saya sekadar membaca.

“Saya pernah terkena apabila peminat menganggap kami mempunyai hubungan istimewa, sedangkan saya melayannya sama seperti orang lain. Saya perlu berhati-hati apabila berdepan dengan peminat seperti ini.

Menyentuh kerjaya lakonannya, Fikry berkata, dia masih utuh mempertahankan prinsip untuk tidak melakukan babak bersentuhan dalam produksi yang dijayakan.

“Saya bukannya baik sangat, malah ada juga sisi jahat yang orang tidak tahu. Bagaimanapun, saya pegang prinsip untuk tidak melakukan babak bersentuhan tanpa berlapik dan tidak memuat naik gambar wanita tidak bertudung di laman sosial.

“Saya buat semua itu sebagai tanda menghormati wanita. Tidak dinafikan, ada sesetengah pihak yang menganggap prinsip saya itu menyebabkan drama tidak boleh dipromosikan.

“Saya tidak setuju kerana banyak cara lain boleh dilakukan. Jika ada yang berpandangan seperti itu, mereka seolah-mereka seperti tidak percaya pada rezeki,” katanya.

Sumber : Harian Metro

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.