fbpx
Now Reading
“Saya tahu apa saya lakukan adalah salah” – Ammar Alfian

“Saya tahu apa saya lakukan adalah salah” – Ammar Alfian

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pelakon filem Paskal, Ammar Alfian akhirnya mengaku dia berlaku curang seperti didakwa isterinya, Nelissa Nezam di Instagram, Isnin lalu.

Ammar, 32, atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri berkata, dia sudah meminta maaf berkali-kali terhadap isterinya berhubung perkara itu.

“Saya tahu apa saya lakukan adalah salah. Saya sudah pun meminta maaf berkali-kali sebelum ini pada isteri saya. Tapi, ini hukuman yang saya dapat daripada dia. Saya reda dan terima kerana ini semua daripada Allah.

“Dalam bulan Ramadan ini, saya meminta maaf kepada semua. Saya berdosa dan percaya Allah akan memaafkan hambanya yang datang kepada-Nya,” katanya.

Dalam status yang dimuat naik di Instagram hari ini, Ammar berkata, fokusnya kini pada anak lelaki yang bakal dilahirkan selain ingin menyelamatkan perkahwinan yang dibina pada Mac 2016.

“Ini adalah kenyataan saya terakhir mengenai isu ini. Tolong hormati perkahwinan saya dan beri saya ruang untuk selamatkan perkahwinan saya.

“Saya harap perjalanan hidup lebih tenang dan dekat pada Allah selepas ini. Sesuatu yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Dalam masa sama, Ammar enggan melayan sikap isterinya yang dianggap satu permainan kerana mendedahkan perkara itu kepada umum.

“Isteri saya yang memilih cara penyelesaian seperti ini. Harap dia berpuas hati selepas motif tercapai. Fokus saya adalah pada anak lelaki yang bakal lahir dan tiada perkara lain yang lebih penting. Saya sudah buat pilihan untuk berdiam diri dan selesaikan masalah ini antara saya dan isteri, tetapi dia mahu memalukan saya kepada khalayak ramai.

“Saya takkan ‘main’ permainan dia. Seperti mana saya beritahu sebelum ini, anda semua tidak boleh faham dan tak mahu dengar sebelah pihak saya. Jadi, buat apa saya jelaskan apa-apa. Cukup bagi saya, isteri, ibu bapa dan keluarga mentua yang tahu,” katanya.

Sementara itu, Nelissa ketika dihubungi berkata, dia tidak kisah dengan apa pun tindakan Ammar selepas ini.

Nelissa yang juga bekas penyampai berita di sebuah stesen televisyen berbayar berkata, buat masa sekarang dia tidak mahu diganggu kerana ingin memberi fokus kepada kehamilannya yang kini mencecah enam bulan.

Terdahulu, Nelissa mendedahkan perbualan WhatsApp dengan Ammar di Instagram Stories yang membuktikan pelakon itu berlaku curang terhadapnya.

Tindakan itu dibuat Nelissa selepas Ammar memuat naik status yang mendakwa isterinya itu menipu dan sudah meminta maaf atas ketelanjuran berkongsi di laman sosial.

“Jangan sesekali memutar belit permohonan maaf saya sehingga saya kelihatan seperti penipu. Saya memohon maaf kerana tidak bersikap rasional dan berbuat demikian kerana mengutamakan anak dalam kandungan, selain kasihankan dia,” katanya.

Dalam hantaran perbualan yang dikongsi, Ammar dikatakan memohon maaf kerana tidak berterus terang sejak awal lagi.

Selain mengaku kesalahannya, Ammar juga dikatakan memberikan alasan merahsiakan hubungan sulitnya kerana enggan memanjangkan kemelut rumah tangga mereka.

Sumber : Harian Metro

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.