fbpx
Now Reading
Cuti Paterniti Beri Kesan Kepada Kos Operasi Syarikat

Cuti Paterniti Beri Kesan Kepada Kos Operasi Syarikat

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pemberian cuti wajib selama tiga hari itu kerana isteri bersalin, memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Berdasarkan kajian, beliau mendakwa, majikan terpaksa menanggung kos lebih RM150 juta setahun sekiranya kerajaan tetap mahu memperkenalkan langkah itu dengan meminda Akta Kerja 1955.

“Alasan cuti selama tempoh itu boleh membina ikatan kekeluargaan utuh antara suami, isteri dan anak yang baru dilahirkan, perlu diubah dengan cara lain tanpa membabitkan sebarang kos di pihak majikan,” katanya.

Shamsuddin berkata, isu itu sebenarnya sudah dibincangkan panjang lebar di peringkat Jawatankuasa Teknikal Penasihat Buruh Kebangsaan dan majikan berpandangan cuti berkenaan sebenarnya meningkatkan kos operasi.

“Kita tahu hasrat untuk memberi cuti berkenaan kerana kerajaan mahu meningkatkan ikatan (hubungan) suami dengan isteri dan anak baru lahir.

“Bagaimanapun, kita rasakan ikatan berkenaan boleh ditingkatkan jika golongan suami ubah minda untuk membantu isteri supaya hubungan mereka lebih rapat dengan anak baru lahir, tidak semestinya dengan cuti tiga hari,” katanya.

Beliau berkata, cara lain ialah suami boleh sentiasa berdampingan dengan isteri dan anak baru lahir setiap hari selepas waktu bekerja, cuti hari minggu atau cuti umum yang tidak membabitkan kos.

“Kita juga sentiasa galakkan golongan lelaki yang bekerja agar ringan tulang bantu keluarga di rumah supaya hubungan dengan isteri dan anak lebih rapat. Cara ini paling sesuai,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

Ditanya sama ada pihaknya membuat bantahan, Shamsuddin berkata, perkara itu sudah dibangkitkan, namun kementerian terbabit tetap meneruskan cadangan itu yang disifatkannya lebih untuk meraih populariti sehingga mengabaikan implikasi kos dan kompetitif syarikat swasta.

“Bagaimana pula dengan pekerja asing? Adakah apabila mereka termaktub dengan cuti paterniti ini. Berbaloikan mereka balik ke negara asal untuk bersama-sama isteri dan anak baru dilahirkan? Apa rasionalnya? Apa tujuan asal cuti diberikan? Itu cuma tambah kos kepada majikan,” katanya.

Sumber : BH Online

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.