fbpx
Now Reading
“Dikala Orang Menghamburkan Pelbagai Kata-kata Makian, Allah Mengurniakan Saya Hati Yang Cekal Dan Tabah” – Iq Dinzly

“Dikala Orang Menghamburkan Pelbagai Kata-kata Makian, Allah Mengurniakan Saya Hati Yang Cekal Dan Tabah” – Iq Dinzly

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, pelakon Iqram Dinzly yang kini sudah dikenali sebagai Iq Dinzly pernah mencetuskan kontroversi dan dikecam warganet kerana dianggap berkelakuan pelik. Malah gaya pemakaiannya juga dikatakan kurang sesuai sebagai manusia biasa.

Lama kelamaan, ramai peminat mula memberi reaksi positif apabila Iq Dinzly perlahan-lahan mengubah penampilannya kembali kepada personaliti asal. Ramai juga yang memuji Iq kelihatan lebih kacak dengan penampilan terkini.

“Sepertimana yang pernah saya katakan sebelum ini, beri peluang kepada orang untuk berubah dengan menadah doa, bukan menghentam tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana mereka yang mengutuk saya selama ini banyak membantu saya mengumpul pahala untuk bekalan akhirat. Terima kasih beri saya pahala.

“Saya menganggap segala kecaman mereka juga membantu saya dalam mengenal diri dan Allah tanpa perlu berhadapan atau bersemuka dengan mereka. Secara tidak langsung, saya menimba banyak ilmu agama dan psikologi dalam hidup.

“Dalam masa yang sama, ia menguji sejauh mana kecekalan hati saya apabila menerima tohmahan serta kejian orang yang berasakan diri mereka sempurna,” kata Iq membuka bicara.

Gambar: Astro Gempak

Bagi Iq, kecaman warganet membuatkan dia lebih memahami situasi orang sakit mental yang sebenarnya dialami oleh ramai rakyat Malaysia tanpa disedari mereka.

“Saya sentiasa percaya bahawa aturan Allah itu adalah yang terbaik buat hamba-Nya. Bukan warganet atau orang di luar sana yang menyusun atur hidup saya. Jadi saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

“Di kala orang menghamburkan pelbagai kata-kata makian, Allah mengurniakan saya hati yang cekal dan tabah. Saya tidak pernah stres jauh sekali bersedih dengan kecaman orang, malah ia membuatkan saya lebih kuat,” katanya.

Terkini, Iq bergiat aktif dalam bisnes minuman dan produk yang bakal dilancarkan sekaligus mahu memberi manfaat kepada anak-anak muda.

“Saya tidak pernah lupakan dunia lakonan yang sudah menjadi darah daging saya. Dunia itulah yang membawa saya ke masa sekarang. Tanpa dunia lakonan saya tidak ke mana.

“Namun, setiap manusia pasti melalui perubahan hidup mengikut cara masing-masing. Saya sendiri mahu menggunakan nama saya sebagai pelakon untuk terus aktif menjadi usahawan.

“Penglibatan saya dalam bisnes ini juga adalah mahu mendorong anak-anak muda agar lebih memanfaatkan masa dan peluang yang ada. Saya menyeru mereka agar bangun dan bangkit dalam memajukan bidang keusahawanan.

“Bagi mereka yang tidak ada asas bisnes, jangan risau kerana saya pun tiada pengalaman buat bisnes. Ini kerana saya memegang kata-kata ‘from zero to superheroes’ dengan berbekalkan usaha yang tidak jemu,” katanya yang kini terkenal dengan produk makanan Serumbal Ciblis iaitu gabungan serunding, sambal, cili dan ikan bilis resipi ibunya.

Sumber: Utusan

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.