fbpx
Now Reading
Pekerja Swasta Juga Cuti Semasa Hari Pertabalan Agong

Pekerja Swasta Juga Cuti Semasa Hari Pertabalan Agong

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tarikh 30 Julai ini yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah juga cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia hari ini, berdasarkan kepada peruntukan itu, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada pekerja.

“Sehubungan itu, semua majikan dikehendaki memberitahu pekerja mereka sama ada memilih tarikh 30 Julai ini sebagai hari cuti umum atau menggantikannya kepada tarikh lain.

“Sekiranya tiada penggantian dibuat dengan mana-mana hari lain, pekerja yang bekerja pada tarikh itu layak menerima kadar gaji kerja pada cuti umum,” katanya, sambil menambah bagi Sabah dan Sarawak, ia selaras dengan undang-undang negeri masing-masing.

Menurut kementerian itu, cuti yang diisytiharkan Kerajaan Persekutuan itu adalah mengikut Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951(Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sabah dan Sarawak, ia selaras dengan undang-undang negeri masing-masing.

Bagi Pahang, kerajaan negeri itu sudah mengumumkan tarikh 30 dan 31 Julai ini sebagai hari kelepasan bagi seluruh Pahang.

“Pengumuman ini dibuat bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah yang jatuh pada 30 Julai dan hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.

Sehubungan itu, tarikh 31 Julai adalah cuti gantian kepada hari pertabalan baginda.

“Bagaimanapun, cuti ini boleh digantikan pada tarikh lain sebagaimana diperuntukkan oleh Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955,” katanya.

Menurut kementerian itu, kenyataan ini dikeluarkan bagi menarik perhatian majikan sektor swasta berkaitan kewajipan memberi cuti umum tambahan itu kepada pekerja selain menggariskan hak pekerja mendapat cuti umum bergaji bagi hari kelepasan berkenaan selaras dengan peruntukan perundangan perburuhan di Malaysia.

Sumber : BH Online

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.