Now Reading
XPDC Kutip Derma Untuk Keluarga Roy Hidayu

XPDC Kutip Derma Untuk Keluarga Roy Hidayu

Sebelum ini kumpulan rock XPDC telah mengutip derma di konsert mereka bagi membantu Yazit Search dan Nizam (EYE) yang mengidapi penyakit buah pinggang dan strok. Kali ini pulak, XPDC turut melancarkan tabung bagi keluarga pemain drum kumpulan Hidayu, Allahyarham  Jamaluddin Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Roy Hidayu yang meninggal dunia pada 14 Ogos lalu akibat serangan jantung.

Kutipan derma itu dilakukan oleh XPDC pada konsert mereka yang diadakan di Dataran Udang Galah, Telok Intan, Perak pada 31 Ogos 2019 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

Menurut pengurus XPDC, Yazid Selamat, kutipan tersebut dilakukan untuk meringankan beban keluarga Allahyarham selain bagi menghargai sumbangan beliau yang sama-sama berjuang dalam industri satu ketika dahulu.

“Usaha ini adalah sedikit usaha kami kepada rakan-rakan yang pernah seangkatan dengan kami satu ketika dahulu.

“Ia bukanlah besar, tapi kami sangat berharap ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban atau membantu keluarga Allahyarham Azroy. Dia seorang yang sangat baik dan kami anggota XPDC.. Mael, Zuar, Jeff dan Amy sangat merasai kehilangan beliau,” kata Yazid ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Lebih 7,000 penonton membanjiri Dataran Udang Galah bagi menyaksikan persembahan lebih 10 lagu dari album XPDC yang pernah popular satu ketika dahulu. Difahamkan, kutipan derma tersebut juga merupakan kerjasama yang dijalinkan oleh XPDC bersama pihak penganjur Karnival Din Entertainment.

See Also

Kutipan tersebut telah diserahkan kepada isteri Allahyarham, Salmi Mohd Hashim, pada Ahad. Jelas Yazid, anggota XPDC mahu menjadikannya sebagai amal ibadah yang jujur dan ikhlas sebagai tanda menghargai orang ramai yang satu ketika dahulu pernah menyokong XPDC.

Tambah Yazid, usaha sebegitu akan diteruskan selepas ini jika diberi ruang rezeki oleh Allah SWT.

Sumber: Awani

© 2019 BuzzKini. All Rights Reserved.