Now Reading
Enam ‘Supercar’ Lamborghini Disita Oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Enam ‘Supercar’ Lamborghini Disita Oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Enam ‘supercar’ Lamborghini Huracan telah disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Ia merupakan antara 21 kereta disita kerana didapati menyeleweng dokumen pengimportan.

Kereta mewah lain yang dirampas adalah tujuh Toyota Vellfire; Toyota Estima (empat); Mercedes Benz CLS350 (dua) dan masing-masing sebuah kereta jenis BMW525i dan Toyota Alphard.

Kesemua kereta mewah itu disita oleh sepasukan anggota dan pegawai JKDM, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Zon Tengah dalam dua serbuan berasingan di dua buah syarikat pengimportan kenderaan di Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.

Gambar: Malaysia Gazette

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid berkata, kesemua kereta berkenaan yang disita itu dianggarkan bernilai RM12.2 juta berdasarkan nilai kereta termasuk duti dan cukai.

Tambah beliau lagi, tujuan pihaknya menyita kenderaan berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu tidak mempunyai Lesen Import yang sah semasa pengimportannya.

“Siasatan juga mendapati, dua syarikat berkenaan cuba menyeleweng dokumen dengan mengikrar tarikh pengilangan yang tidak benar atau usia kereta yang tidak benar.

“Hasil siasatan juga mendedahkan, kereta yang disita melanggar syarat Lesen Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITl),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bagi kes serbuan pertama, pihaknya menyita lapan kereta mewah iaitu Toyota, Mercedes Benz dan BMW dengan anggaran nilai kereta sebanyak RM340,000 dan jumlah duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM644,000.

Azimah berkata, kesemua kereta berkenaan didapati disimpan dalam gudang berkenaan lebih dua tahun selain belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, sebanyak 13 kereta mewah disita termasuk enam Lamborghini dengan nilai anggaran kereta adalah RM3.8 juta dan duti serta cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM7.5 juta.

“Berdasarkan nilai semasa, sebuah Lamborghini Huracan dipasarkan pada harga RM1.9 juta.

“Siasatan mendapati, tarikh keluaran Lamborghini adalah pada 2016 dan 2017 namun, syarikat berkenaan menyeleweng dokumen dengan memalsukan tarikh keluaran antara 2012 hingga 2014,” katanya.

Katanya, tindakan menyeleweng tarikh keluaran itu bagi mengelak cukai lebih tinggi dibayar kerana apabila usia kereta lebih lama, maka cukai yang perlu dibayar kepada kastam adalah lebih rendah.

Azimah berkata, pihaknya mendapati syarikat berkenaan pernah terbabit dalam kesalahan sama sebelum ini dan sudah beroperasi lebih lima tahun.

See Also

“Kami juga masih menyiasat sama ada kereta berkenaan sudah ada pembeli atau tidak.

“Semua kereta berkenaan diimport dari United Kingdom dan Jepun,” katanya.

Katanya, sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kedua pula, Azimah berkata, denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mana yang lebih tinggi dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta mana yang lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Katanya, pihaknya menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti kereta, rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Sumber: Harian Metro

© 2019 BuzzKini. All Rights Reserved.