fbpx

Rehat Sebagai CEO Finas Selama 3 Bulan, Tindakan Ahmad Idham Cetus Tanda Tanya

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Spekulasi mengenai pengunduran Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) rancak diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Ahmad Idham mencetuskan kontroversi apabila menggesa pihak kerajaan supaya menapis isi kandungan yang dihasilkan oleh laman penstriman popular di dunia dan juga Malaysia iaitu Netflix. Menurutnya, ramai ibu bapa yang bimbang sekiranya kandungan yang tidak bertapis, berunsur lucah boleh merosakkan akhlak golongan muda.

BACA : “Tak ada orang paksa kita untuk tonton” – sharifah amani ulas isu tapis netflix.

Menurut Astro AWANI , kedudukan Ahmad Idham ‘ tidak lagi selamat’ dan berkemungkinan jawatan CEO akan digantikan dengan individu lain. Berdasarkan kontrak lantikan, Ahmad Idham ditawarkan jawatan di agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia selama dua tahun yang akan berakhir pada Mac 2021.

Dalam perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan FINAS di Hulu Kelang pada Selasa lalu, Ahmad Idham mengumumkan beliau akan mula bercuti minggu depan selama tiga bulan.

“Berdasarkan situasi masa kini, sepertinya Ahmad Idham tidak akan kembali lagi ke FINAS selepas Mac depan. Alasan yang diberikan Ahmad Idham beliau mahu selesaikan urusan peribadi, namun jawapan itu mencetuskan banyak persoalan,” kata sumber dalaman FINAS kepada Astro AWANI.

Dalam perhimpunan itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac yang menyampaikan ucapannya turut menyentuh mengenai tindakan Ahmad Idham yang akan bercuti sehingga bulan Mac 2020.

Benarkah FINAS akan mendapat CEO baharu menjelang Mac depan?

Sementara itu, Ahmad Idham ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan, beliau akan bercuti selama tiga bulan bermula minggu depan.

Ditanya mengenai spekulasi berhubung kedudukannya pula, Ahmad Idham berkata, perkara itu diserahkannya kepada pihak berkuasa.

“Ada baiknya, kalau kita sama-sama nantikan pengumuman daripada pihak yang berkuasa. Biarlah saya bercuti seketika, selepas bulan Mac, Insya-Allah kita akan berjumpa lagi,” kata Ahmad Idham, 45.

Usaha Astro AWANI untuk menghubungi Hans Isaac bagaimanapun tidak berhasil.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.