Irwansyah Sedia Hijrah ke Malaysia
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
SEDEKAD yang lalu, nama Irwansyah cukup popular bukan sahaja di Indonesia, bahkan sehingga ke beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuklah Malaysia.
Namun siapa sangka, akui lelaki berusia 32 tahun ini, Malaysia sudah diibaratkan seperti rumah keduanya, apatah lagi, dia sering berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur sejak 10 tahun lalu atas komitmen kerja. Kini, aktor yang juga penyanyi dan terkenal dengan lagu seperti Pencinta Wanita, Kamelia dan Kutunggu Jandamu ini mengakui sedia untuk berhijrah ke Malaysia. Apatah lagi, kerjayanya kini kembali mekar di Malaysia dan Irwansyah bakal muncul menerusi drama terbitan produksi Malaysia, Dia.
“Begitu juga dengan isteri saya, dia ada mengikuti saya ke sini semasa penggambaran drama Dia dan Zaskia terus jatuh cinta dengan suasana di Malaysia. Malah selepas kunjungan ke sini bagi memeriahkan majlis pernikahan Bella, dia ada bertanya bila lagi mahu ke mari. “Bella juga sudah menetap di sini, secara tak langsung kami ada juga berbincang untuk melebarkan perniagaan kek, Bandung Makuta ke sini nanti. Jadi tengoklah macam mana nanti. Tapi kalau ada rumah hendak dijual beritahu saya ya,” ujarnya berseloroh ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media drama Dia.
Pegang syarat isteri
Sementara itu, ditanya mengenai babak romantis yang perlu dijayakan bersama Janna dan Izara, Irwansyah berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah menjayakan babak romantis, namun berpegang dengan syarat isterinya yang tidak mahu dia berpelukan mahupun bercium dengan gandingannya.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan kedua-dua pelakon. Tetapi dari awal lagi saya berpegang dengan syarat Zaskia yang tidak mahu saya berpelukan atau bercium. Cuma tak kisah kalau ada bersentuhan sedikit.
“Sejak awal lagi, saya sudah berbincang dengannya mengenai drama ini dan dia memahami kerja saya.
“Lagipun sebagai suami, saya tahu batas-batas saya dan produksi juga tidak meminta untuk melakukan babak berlebihan,” jelasnya.
Source: Sinar Online